Pages

Monday 5 December 2011

AKHLAK MENCORAK PERIBADI SETIAP INSAN




قال رسول الله  صلى الله عليه وسلم:" أكمل المؤمنين ايمانا أحسنهم أخلاقا."

Akhlak suatu perkara penting dalam kehidupan manusia.seseorang itu akan dinilai melalui budi pekerti dan bukanlah pada kecantikan paras rupanya. Jika baik budi pekerti, maka cantiklah peribadi. Tiada guna kecantikan zahiriah, jika tiada budi pekerti yang mulia, kerana kecantikan luaran itu akan pudar dan lenyap suatu ketika nanti, tetapi kecantikan budi pekerti itu akan berkekalan walaupun seseorang itu telah dimamah usia.

Apabila berbicara tentang akhlak, ia bermakna perlakuan yang sesuai dengan umur dan personality seseorang itu. Cuba bayangkan, jika terdapat sekumpulan mahasiswi islam yang bergurau senda dengan suara yang lantang, tampar menampar di khayalak ramai, sudah tentu tidak manis di setiap mata yang memandang !!!!!

Islam tidak melarang umatnya bersuka ria dan bergurau senda, selagi mana ia tidak melanggar batasan yang telah disyariatkan. Gurauan itu haruslah tidak menggunakan bahasa –bahasa kasar dan menyinggung perasaan orang lain.

Demikianlah juga, pergaulan dengan orang yang lebih dewasa. Bak kata pepatah “hormati yang tua kasihi yang muda”. Sudah tentu kita tidak boleh menyamakan mereka dengan rakan sebaya kita. Hendaklah kita menanamkan rasa hormat kepada orang yang lebih dewasa daripada kita, kerana disitulah tercoraknya ciri-ciri peribadi muslimah.

Begitulah pentingnya akhlah, lebih-lebih lagi pada seorang pelajar yang berpendidikan agama. Bayangkan betapa buruknya seorang pelajar agama, jika kurang budi pekerti, dia bukan sahaja dipandang rendah, malah sering menjadi bahan umpatan, tetapi bayangkan betapa buruknya lagi apabila peribadinya dijadikan hujjah atau ikutan oleh orang awam.

Selain dari itu, sikapnya juga menunujukkan bahawa apa yang dipelajarinya hanya sekadar termaktub dilembaran kitab, tetapi tidak diamalkannya.

Satu perkara yang sentiasa perlu kita sedari bahawa, ilmu itu bukan sekadar dipelajari, bahkan ianya perlu diamalkan walaupun dimana kita berada.

            Ini bermakan setiap pelajar itu perlu menetapkan hadafnya dan sentiasa memotivasikan diri, lebih-lebih lagi mahasiswi yang menunutut diluar Negara. Banyak yang telah dikorbankannya untuk berada diperantauan. Harta benda, keluarga, sanak saudara dan tanah air. Maka teramatlah sia-sia sekali jika pengorbanan yang diberikan itu disia-siakan dan tidak membuahkan hasil. Peluang untuk kebumi anbia’ ini perlu dimanfaatkan dengan sebaiknya, kerana tidak mustahil apabila kita meninggalkan bumi anbia’ ini kita tidak akan kembali lagi. Jika kita tidak menggunakan peluang ini dengan sebaik-baiknya pasti kita akan menyesal di kemudian hari.

            Oleh iti mendisiplinkan diri juga, memainkan komitmen yang penting dalam membentuk kehidupan muslimah yang solehah.Bagi pelajar yang berada diluar Negara dan juga jauh dari sisi kedua ibubapa, inilah masanya untuk membuktikan bahawa, kita mampu untuk berdikari. Setiap detik dan masa kosong adalah amanah. Tidak salah untuk bergembira dan bersuka ria sekali sekala, tetapi ia menjadi kesalahan jika terlampau leka dalam bergembira. Disiplin diri adalah perkara yang paling penting dalam melahirkan kejayaan seseorang.

            Selain dari itu, kebijaksanaan dalam memilih rakan, juga memaiankan peranan penting dalam meningkatkan kualiti akhlak peribadi seseorang.

            Seperti yang kita dapat lihat, berapa ramaikah mereka yang gagal dalam kehidupan disebabkan oleh pengaruh rakan-rakan sebaya.

            Perlu diingatkan bahawa sebagai seorang insan kita tidak terlepasa dari melakukan kesalahan dan kesilapan. Kita perlu menerima nasihat dan teguran daripada sesiapa sahaja dengan berhikmah. Muhasabah diri sejauh manakah kebenaran nasihat yang diberikan, dan berusahalah untuk memantapkan jati diri kita sebagai seorang mahasiswi dikaca mata islam.

           Insyaallah sekembalinya kita ketanah air kelak, kita bukan sahaja lebih cemerlang dalam ilmu bahkan juga lebih matang dari sudut akhlak. Janganlah memebiarkan keadaan kita masih lagi ditakuk yang lama, seandainya ia terjadi, maka sia-sialah kehadiran kita disini…

            Ianya bukan hanya untuk direnungkan, tetapi untuk dijadikan peringatan bagi kita sesama kita umat islam. Semoga kita sama- sama mendapat rahmat dan keredhoan Allah s.w.t.

           

No comments:

Post a Comment